Kerajaan Malaysia sememangnya mementingkan keselamatan produk yang dikeluarkan di negara ini.
Selain produk makanan dan kesihatan, peralatan mainan juga perlu lulus dalam pemeriksaan sebelum dijual di pasaran di Malaysia.
Malaysia Conformity (MC) Penanda Aras Keselamatan Alatan Permainan Kanak-kanak Oleh Siti Syawana Misni dan Nooralisa Basiron PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Ada sesetengah alat permainan kanak-kanak direka khas untuk merangsang perkembangan otak si-kecil.
Namun, sejauh mana alat permainan itu selamat digunakan?. Keadaan ini tambah membimbangkan dengan laporan media mengenai kemalangan yang berpunca daripada barang permainan kanak-kanak.
Isu penarikan balik alat permainan oleh beberapa badan standard antarabangsa seperti Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC) di pasaran global sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan ia turut dipandang serius oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan persatuan-persatuan pengguna Malaysia.
Malahan, dilaporkan hampir 47.7 juta produk permainan yang ditarik balik dari pasaran global kebanyakannya di pasaran Amerika Syarikat manakala 18 juta daripada jumlah itu dikilangkan di China.
Penarikan produk permainan ini berpunca daripada kandungan bahan kimia terutama plumbum dan logam yang terdapat pada produk dan komponen permainan yang kurang berkualiti yang boleh membahayakan kanak-kanak, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Standard Kepenggunaan, KPDNKK Rashinah Abdul Hamid memberitahu Bernama baru-baru ini.
PENGUATKUASAAN TANDA PEMATUHAN Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Albania telah meluluskan peraturan keselamatan alat permainan kanak-kanak sejak tahun 2007, bagi memastikan produk permainan yang masuk ke pasaran berkualiti dan selamat kepada pengguna.
Malaysia pernah sebelum ini membangunkan beberapa standard berkaitan produk permainan namun ia tidak dikuatkuasakan.
Standard ini lebih bersifat sukarela, iaitu pengeluar boleh membuat pemilihan sama ada mahu meletakkan tanda standard ini pada produk permainan mereka ataupun tidak.
Namun, demi memastikan keselamatan pengguna Malaysia terjamin, KPDNKK telah mewajibkan penggunaan tanda pematuhan Malaysia Conformity (MC) untuk semua alat permainan sama ada yang dikilangkan dalam negara atau diimport sejak 1 Ogos 2010, katanya. "Pihak kami telah melakukan penguatkuasaan tanda pematuhan MC ini secara berperingkat.
Ini bagi memudahkan pihak pengeluar untuk melakukan persediaan", katanya.
Beberapa syarat perlu dipatuhi oleh pengeluar semasa melakukan penandaan pematuhan MC ini iaitu ia perlu ditandakan pada permainan tersebut atau pada bungkusan dengan jelas, mudah dibaca oleh pengguna dan tidak mudah ditanggalkan.
0 ulasan:
Post a Comment